Kadang, cinta tak selalu berakhir seperti yang kita doakan.
Kita sebagai manusia ni pernah berharap, pernah sujud lama di sepertiga malam, memohon supaya hubungan itu kekal sampai ke syurga. Tapi akhirnya, semua yang kita genggam dengan harapan, terlepas begitu saja bukan kerana kita tak berusaha, tapi kerana Allah tahu sesuatu yang kita belum tahu.
Perpisahan bukan selalu tanda gagal. Kadang, ia adalah cara Allah memelihara kita daripada sesuatu yang kita tak mampu tanggung. Ada doa yang Allah makbulkan dengan cara “memberi”, tapi ada juga yang Dia makbulkan dengan cara “mengambil”. Dan keduanya tetap merupakan bentuk kasih sayang yang diturunkan dari-Nya.
Hari ini, aku belajar untuk tidak lagi bertanya “kenapa bukan dia?”, tapi lebih kepada “apa yang Allah mahu aku belajar daripada perkara yang terjadi?”. Sebab mungkin, bukan dia yang tertulis untuk menemani aku hingga hujung, tapi dia hadir sebagai jalan untuk aku kembali mengenal erti sabar, redha, dan ikhlas.
Cinta yang tidak berakhir seperti doa kita bukanlah sia-sia. Ia tetap indah kerana pernah jadi sebahagian daripada perjalanan menuju Allah.
Perkenalan kami… bagi aku, sangat comel dan unik. Ia bermula dengan cara yang aku sendiri tak pernah bayangkan akan jadi titik mula untuk aku kenal seseorang yang akhirnya memberi kesan besar dalam hidup aku. Kadang, aku rasa ia terlalu kebetulan untuk disebut sebagai “kebetulan”. Tapi pada masa yang sama, terlalu indah untuk aku nafikan bahawa semuanya berlaku atas izin Allah.
Dia hadir dalam hidup aku pada waktu yang aku sendiri tak minta, tapi entah mengapa, kehadirannya terasa tepat. Ada sesuatu tentang cara kami berkenalan yang membuatkan aku percaya, “Oh, mungkin ini yang dinamakan takdir yang manis.”
Dan dari satu perbualan kecil itu, segalanya mula berkembang perlahan-lahan. Tanpa aku sedar, aku mula menanti mesejnya, mula terbiasa dengan suaranya, dan mula rasa tenang bila dia ada. Semua itu bermula daripada sesuatu yang begitu ringkas tapi rupanya cukup kuat untuk menumbuhkan rasa yang aku tak pernah sangka akan hadir.
Lama-kelamaan, perkenalan kami yang dulu sekadar kebetulan mula berubah jadi sesuatu yang lebih dalam. Tanpa sedar, kami semakin rapat dan akhirnya hubungan tu bertukar menjadi sesuatu yang istimewa. Setahun. Ya, setahun penuh dengan macam-macam rasa. Dalam masa tu, kami sama-sama belajar banyak benda. Ada sengketa kecil yang kadang buat kami diam lama, ada juga hari-hari yang penuh dengan gelak tawa sampai lupa dunia.
Ada satu kenangan yang sampai sekarang masih aku ingat kali pertama kami keluar makan sama-sama. Tempatnya tak mewah pun, cuma di "Chicken Rice Shop". Tapi waktu tu, aku rasa bahagia dengan cara yang paling sederhana. Aku masih boleh ingat betapa gembiranya hati bila dapat makan makanan yang aku suka, sambil tengok orang yang aku sayang duduk di hadapan aku dengan penuh senyuman. Saat tu, aku rasa dunia jadi tenang.
Dari situ, semuanya jadi lebih manis. Kami mula akui perasaan masing-masing. Tak perlu ayat panjang, tak perlu janji besar-besar cukup dengan saling tahu bahawa kami sama-sama suka, sama-sama mahu. Dan dari situ juga, kami mula banyak luangkan masa bersama. Kadang keluar jalan-jalan tanpa hala tuju, kadang cuma duduk atas motor atau di kedai mamak serta tasik di Putrajaya sambil berbual tentang hidup, tentang impian, tentang masa depan yang kami ingin bina sama-sama.
Setiap kenangan tu masih terlukis jelas. Bukan sebab aku tak move on, tapi sebab setiap detik tu pernah buat aku rasa benar-benar hidup, rasa dicintai, dan rasa mencintai.
Dalam tempoh setahun tu, bukan semuanya indah. Ada juga masa-masa sukar yang datang tanpa disangka. Kami pernah bergaduh, pernah salah faham, dan pernah saling menjauh hanya sebab perkara kecil yang akhirnya jadi besar. Kadang aku rasa semuanya berpunca daripada masalah komunikasi bila aku fikir dia faham, rupanya tidak bila dia cuba jelaskan, aku pula tak cukup tenang untuk mendengar.
Waktu tu, aku mula sedar bahawa dalam setiap hubungan, bukan hanya cinta yang perlu kuat, tapi juga kesabaran. Sebab bila dua hati disatukan, pasti ada perbezaan yang perlu dipelajari dan diterima. Ada masa aku rasa lemah, rasa penat nak melawan semua ujian yang datang berturut-turut. Tapi entah bagaimana, setiap kali hampir menyerah, selalu ada ruang untuk kami saling memaafkan.
Beberapa kali kami duduk berbincang, saling mengaku salah masing-masing, dan berjanji untuk cuba lagi. Setiap kali tu, aku rasa lega sebab aku tahu kami masih sama-sama mahu pertahankan hubungan ni. Walaupun ada luka kecil di hati, kami tetap pilih untuk terus bersama.
Dan masa tu, semuanya masih okey. Masih ada tawa, masih ada kasih, masih ada rasa “kita”. Walaupun kadang terselit rasa ragu dan takut kehilangan, aku tetap percaya bahawa selama kami saling memahami, semuanya akan baik-baik saja.
Selain semua kisah duka dan ujian, ada juga momen-momen kecil yang sampai sekarang masih mampu buat aku tersenyum bila teringat. Salah satunya, masa sambutan hari lahir. Aku masih ingat lagi betapa aku bersemangat nak raikan hari lahir dia. Aku fikir panjang tentang hadiah apa yang sesuai, dan akhirnya aku pilih untuk beri dia sepasang kasut.
Dan bila tiba giliran aku pula, dia bagi aku hadiah yang comel lampu berbentuk itik. Dia juga pernah bagi aku beberapa hadiah lain, macam keychain kepala kucing. Aku masih simpan dan pakai semuanya sampai sekarang. Bukan sebab aku tak boleh lepaskan, tapi sebab setiap satu hadiah tu ada cerita, ada rasa, ada kenangan yang tak boleh ditukar dengan apa pun.
Yang paling aku ingat, bila dia cakap itu kali pertama dia dapat hadiah daripada seorang wanita, hadiah dalam bentuk barang. Waktu tu aku tersenyum, sebab aku tahu betapa berharganya momen kecil itu untuk dia. Kami ketawa, bergurau, bertukar hadiah dengan hati yang ikhlas dan aku tahu, kami benar-benar bahagia pada waktu itu.
Aku tahu aku dah cuba sebaik mungkin untuk pertahankan hubungan tu dengan sabar, dengan doa, dengan kasih yang aku letak sepenuh hati. Tapi mungkin ini adalah ujian untuk mengajar aku bahawa cinta tak selalu perlu dimiliki. Kadang, ia hanya hadir untuk mengajar erti keikhlasan.
Mungkin Allah tarik rasa sayang aku yang kuat dekat dia supaya aku belajar melepaskan bukan kerana aku benci, tapi kerana aku mahu dia bahagia. Dan aku juga mahu belajar bahagia dengan cara aku sendiri. Aku anggap perpisahan ni bukan pengakhiran, tapi satu ujian yang mengajar kami tentang keikhlasan dalam mencintai.
Aku akui, badai dalam percintaan ni memang berat. Tapi apa pun yang berlaku selepas ini, aku ikhlas menerima keputusannya untuk pergi. Aku cuma mampu hadiahkan doa yang seikhlas-ikhlasnya semoga dia terus bahagia, terus berjaya, dan terus dikelilingi kebaikan.
Kalau benar perpisahan ini hanya sementara, mungkin satu hari nanti Allah akan pertemukan kami semula, dengan cara yang tak disangka. Tapi kalau dia bukan jodoh terbaik buatku, aku percaya Allah akan susun yang terbaik untuk kami berdua agar masing-masing dipertemukan dengan jodoh yang baik dan penuh keberkatan.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya...”
Pada akhirnya, aku sedar bahawa manusia memang akan saling melukai dan dilukai. Kadang bukan kerana niat, tapi kerana kita semua masih belajar belajar memahami, belajar menahan ego, belajar mencintai dengan cara yang betul. Dari setiap luka, kita belajar tentang sabar. Dari setiap kehilangan, kita belajar tentang reda. Dan dari setiap perpisahan, kita belajar bahawa tidak semua yang kita genggam akan kekal dalam tangan kita. Namun, itu tak bermaksud semuanya sia-sia. Kerana setiap yang datang dalam hidup kita walau hanya sekejap tetap meninggalkan sesuatu yang bermakna. Ada yang datang untuk mengajar kita erti cinta, ada yang datang untuk tunjukkan apa itu keikhlasan, dan ada juga yang datang hanya untuk menyiapkan hati kita agar mampu menerima takdir dengan lebih tenang. Dan mungkin, di hujung semua ini, aku hanya mahu berterima kasih. Bukan kerana dia pergi, tapi kerana dia pernah hadir. Kerana melalui dia, aku belajar bahawa cinta sebenar bukan tentang memiliki, tapi tentang mendoakan dalam diam walau dari jauh. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik perancang. Dan setiap takdir yang Dia tulis, walau pahit pada awalnya, pasti akan indah pada akhirnya.
No comments:
Post a Comment